“Dah lama tak bau asap.” Nadia menjeling.
“Impresif.” Tambah dia lagi. Gam mod podge dibelek. Bersilih dengan kain organza yang sudah dikoyak separuh. Cat fabrik jenis Permaset bersepah sini sana. Merah hitam, warna kegemaran. Nadia tahu itu. Jat tengah sibuk cop t-shirt baru. Biasanya kalau lelaki tertekan, layan bola. Atau paling kurang, tonton berita, atau main game, atau dengar muzik. Tapi dia duduk di bengkel; mengecat. Nadia pun tahu itu.
“Kenapa? Kau suka, aku merokok?” Jat tekun. Gelung sulaman (embroidery hoop) 12 inci dipegang cermat, sambil menekap huruf-huruf yang telah dilukis ke atas perca organza. Nadia, sekilas pun tak dipandangnya. Gara-gara tersilap langkah, warna akan tercapah pada bahagian yang dia tak mahu. Nadia pun tahu itu.
Kotak rokok masih ada dalam dashboard kereta. Masih berpuntung-puntung banyaknya. Nadia yakin, Jat masih merokok. Itu telah Nadia. Entah, Nadia keliru. Nadia tak faham. Nadia tak tahu. Dia tak pernah melarang teman lelakinya merokok. Suka hati, asalkan Jat bebas bila bersamanya. Tak rasa dikongkong atau terkongkong. Kalau ada masalah, cakap. Kalau ada yang tak kena, bincang. Cuma itu, prinsip Nadia.
“Aku cuma pelik. Kau banyak berubah.” Nadia bermain-main anak rambut yang terjuntai melepasi dahi. Kardigannya ditanggalkan, panas. Cuma, akhir-akhir ini dia tak faham teman lelakinya. Dia makin tak kenal dan tak tahu.
--
Dua minggu lalu.
Jat teguk Revive. Hari-hari biasa, dia dengan Nadia. Jalan-jalan, ambil angin sekitar Taman Tasik Titiwangsa. Pagi-pagi lagi, kalau bukan Nadia yang memandu, dia yang akan bonceng. Hari ini, Nadia sibuk. Entah, tiba-tiba bos Nadia buka kedai sampai hujung minggu. Banyak pelanggan menempah baju pengantin. Klise; cuti sekolah, ramai orang kahwin.
“Orang lain yang kahwin, dengan awek-awek aku sekali kena kahwin.” Jat merengus, geram. Botol Revive dicampak, tepat mengenai tong sampah hijau di hujung jalan. Elok-elok dia mahu gerak, sepasang matanya terpandang segolongan anak muda. Semacam ada parti yang luar biasa. Ada gitaris, ada buku-buku, ada deklamasi puisi? Ramai orang duduk-duduk sambil membaca di rumput hijau. Kanak-kanak sedang riang-ria menconteng dan mewarna. Jat mendekat, tertarik. Jat baca papan tanda kayu yang dicat kuning terang; “Buku Jalanan”.
“Abang, sila!” Seorang lelaki bawah 20-an bercermin mata Rayban menegurnya. Jat cuma senyum, segaris. Tersembol dua lubang, membenam kedua belah pipi. Cukup kacak, dengan gaya sederhana; jeans dan t-shirt kosong saja.
“Dah lama ke buat benda ni?” tanya Jat. Tangan lincah membelek salah satu buku yang berderet tersusun.
“Tak juga, Bang. Baru dua minggu.” Balasnya hormat, menanggalkan Rayban.
“Untung ke, buat benda-benda macam ni?” soal Jat lagi. Kali ini tangannya menarik “Jalaluddin Rumi; Qasidah Cinta”. Lelaki Rayban tadi tergelak.
“Buat benda-benda begini, bukan untung yang dikira Bang. Kita nak didik masyarakat. Tak payah susah-susah pergi librari. Nak baca, bersantai-santai pun boleh. Gaya Indie.” Dia sengih lagi.
“Buat benda kecil, tapi ada berkat, itu yang kita mau!” Terngiang-ngiang dalam kepala.
"Kesucian Hati:
Di manapun, jalan untuk mencapai kesucian hati ialah melalui kerendahan hati. Maka dia akan sampai pada jawaban “YA” dalam pertanyaan; bukankah Aku Tuhanmu?"
- Jalaluddin Rumi
Itu patah kata yang sempat dia baca dalam buku tadi. Entah, kata-kata itu buat dia terfikir-fikir. Kata-kata lelaki Rayban tadi buat dia termenung-menung. Buat dia melangkau jauh, fikir sampai otak penat. Hidup dia untuk apa? Hidup dia sampai bila? Mati dia untuk apa?
--
Sejak itu, paling kurang dalam sehari dia usaha cukupkan solat yang tak pernah cukup. Dia masih merokok, cuma sembunyi-sembunyi dan sendiri-sendiri. Paling kurang pun, mudarat biar saja terkena diri, jangan menimpa orang lain. Dia cuba cari buku-buku agama, lengkapkan asas yang masih kurang. Paling ringkas pun, dia telaah bab wuduk dan rukun solat.
Dia cuba mengeja huruf alif, ba, ta, yang dia tak pernah kenal sepanjang 25 tahun hidup. Dari ulasan ceramah-ceramah agama, kata Ustaz; biarlah sikit-sikit, asalkan buat. Dia masih teringat tentang ulasan hadis yang pernah Ustaz ceritakan.
Tentang pemuda yang sedang bermusafir. Segala kelengkapan, makanan dan minuman diletak di atas unta tunggangannya. Tiba-tiba, untanya hilang, dan dia bagai kehilangan segalanya. Bayangkan, terik panas di padang pasir, tanpa apa-apa. Kepenatannya berfikir, membuatkan dia langsung tertidur. Bila tersedar, untanya berada di sebelah, dan dia tersangat gembira.
Kata Ustaz, disebabkan terlampau gembira, dia langsung mengatakan, “Oh Allah, engkaulah hambaku. Akulah TuhanMu.” Dan kata Ustaz itu lagi, kalaulah begitu gembiranya seorang hamba, kegembiraan Allah malah lebih tersangat hebatnya dari pemuda tadi, kalau salah seorang hambaNya bertaubat dan kembali padaNya. Mendengarkan ulasan hadis itu, Jat menangis bertalu-talu.
--
Nadia beria-ria datang