Pages

Saturday, March 31, 2012

aku tak layak!

bila terasa tak mampu atau tak layak, ambillah kisah imam hasan al-basri sebagai motivasi

bila pertama kali disuruh menyampaikan khutbah tentang pembebasan hamba, beliau masih menangguhkan. kali kedua, masih tertangguh. kali ketiga juga masih begitu juga. di kali yang keempat, barulah akhirnya khutbah tentang kebaikan membebaskan hamba disampaikan

bila ditanya, mengapa diambilnya masa yang begitu lama, maka dijawabnya, "bagaimana mungkin akan kusampaikan khutbah tentang pembebasan hamba, sedangkan aku baru membebaskan hambaku tiga hari yang lalu"

ada banyak hikmah dalam cerita ini, tapi ada satu yang paling saya suka!

bila terasa diri "tak mampu" atau "tak layak" melakukan sesuatu (sedangkan orang lain masih percaya pada kita dengan meletakkan tanggungjawab atau posisi tertentu), saya akan cuba paksa-paksa, dan ingat-ingatkan diri tentang ini

untuk menjadi yang lebih baik, kita harus sentiasa berusaha "memampukan" diri sendiri walau sejauh apapun prosesnya, atau selama manapun langkahnya. persis, sebagaimana yang imam hasan al-basri lakukan, tanpa beralasan "aku tak layak" atau "aku tak mampu", tapi  berterusan "mujahadah" dengan diri sendiri, hinggalah kita benar-benar mampu!

subhanallah

awak mampu, dan saya mampu
kita sama-sama mampu
usah bimbang kawan!



_____
motivasi sebelum mula kelas, hehe
selamat belajar :)

Friday, March 30, 2012

Takbir Di Hati Busyra.

“Penceritaan awak bagus, saya cuma mahu awak ubah bahagian ini dan ini. Mereka sekadar berjumpa dalam internet. Setelah perkenalan singkat, masing-masing jatuh hati. Dan, kalau boleh tambahkan unsur komedi, biar ceritanya tak terlalu tegang dan serius.” Shariff mengarah. Busyra terdiam. Shariff langsung sekali lagi, terus melanjutkan kata-katanya. 

“Perkenalan berunsur suspens semacam itu, lebih menarik. Orang suka. Dan majalah kita setiap bulan, akan dapat rating tinggi. Saya mahukan setiap bulan, orang ternanti-nantikan kisah cinta Karmila dan Haziq.” Shariff memperbetul tali lehernya, rapi-rapi. Busyra mendengus, perlahan. 

Ah, bahana menulis kerana manusia, maka jalannya juga akan dipengaruhi kehendak dan kesukaan manusia, meski bertentangan dengan jalan dan perintah Allah. Hatinya berbisik. 

Dahinya berkerut seribu. Sekali lagi, Busyra mengeluh. Pendek kata, setiap patah kata Shariff, tak dipersetujui. Keluhan kecilnya didengari. Shariff mengerling tajam. 

“Ada masalah?” Tanyanya, hairan. 

“Pada saya, kronologi ceritanya sudah cukup baik. Saya tak mahu mencampur adukkan yang bathil dan hak. Encik Shariff lebih maklum tentang itu.” Busyra dengan lembut, menerangkan. Pada masa yang sama, dia menghormati Shariff Othman, pemuda lulusan jurusan undang-undang, merangkap ketua editor syariah di tempat kerjanya. 

Kau masih seperti dulu, Busyra.. tak pernah mahu mengalah. 

“Saya tak rasa, ada masalah. Mereka bercinta dengan cara yang benar. Tak ada makan-makan, menonton wayang, atau saling mesej dan bergayut di telefon. Cuma saja, terjumpa dan berkenalan di internet.” Nada ton Shariff mula meninggi. Sengaja, dia mahu menguji. Sesekali, dicubanya mengawal suaranya supaya tak mengeruhkan suasana. Cincin di jari manis Busyra diperhatikan. 

Busyra, cincin itu...

sela dua momen.

momen paling tenang bagi aku, adalah apabila aku tenggelam dalam ruang fikir yang dalam; nun ke akhirat -antara amal aku yang melayang-layang dan soal-soal malaikat

namun, momen boleh jadi paling kacau; saat -ruang fikir- yang sama bawa aku terbang jauh, mengimpikan amal-amal terhebat, tapi satu pun tak terbuat

hah, sela dua momen!

sumber: separuhlagi

Monday, March 26, 2012

entah-entah spiritual kita..?

"kalau kita rasa manusia itu terbahagi kepada mental, manusia itu terbahagi kepada fizikal, manusia itu terbahagi kepada spiritual.. baik!  

mari kita nilai diri kita sendiri, pada tahap mana spiritual itu berada? kalau fizikal, senang kita nak nilai. 3 kg kita lahir, takkanlah masa ini masih lagi 3 kg? dari segi mental, berkembang! sijil pun dah menentukan tahap pemikiran kita semua berkembang.  

tapi, siapa dapat mengukur spiritual? entah-entah spiritual kita sama level dengan budak darjah tiga? padahal yang nak dibawa bertemu dengan Allah, adalah roh, jiwa dan spiritual itu!" 

-ustazah norhafizah musa; persediaan ramadhan, ikim.fm 

hmm? 
ini yang lama. tapi, best pulak dengar banyak kali.

oh, tips rumahtangga; "mak-sinetron-anak-men-games" hujung-hujung slot pun best. dengan si ayah sekali ready baca doa sebelum berbuka. bolehlah praktik sampai masa dan ketika! ehem (ameen!)

muat turun? 


_____
dengar time masak pun masyuk, terus lunch jadi sedap sebab barokah. err, rasanya lah. :S

qiyam yang menjemukan!



saya pernah dipesan oleh seseorang yang saya sangat kagumi. idola jiwa raga, yang hingga kini saya masih banyak belajar, dan dia, -masih tak terteladani

pernah satu ketika, dia ditanya; 

adakala qiyamullail bila jadi rutin, akan tertimbul 'kejemuan'. malah termuncul 'kantuk' sebab keletihan, dan lain-lain. maka kualiti qiyam itu tak ada sedangkan qiyam itu, tujuan sebenarnya adalah untuk mewujudkan kebersamaan kita dengan Allah. lalu, bagaimana?

senang saja jawapannya;

hari-hari yang kita lalui, banyak cabaran dan dugaan. maka, pengaduan, permintaan dan harapan kita pada Allah, makin hari makin bertambah. maka, dalam qiyam hari-hari itu, pohonlah sesuatu yang berbeza! hari ini lain, esok lain, lusa lain pula. 

dan, jangan lupa untuk pelbagaikan bacaan dalam solat, fahami dan timbulkan suasana ruhiyy yang menyentuh jiwa! (maksudnya, kena banyak menghafal) 

dan juga, belajarlah untuk berseni dalam ibadah, hari ini selitkan dengan bacaan al-quran, esok-esok zikir, dan banyak lagi (maksudnya, kena belajar dan tambahkan ilmu)

tapi, tapi..
lainlah kalau kita tak ada langsung 'permintaan' untuk dimohonkan pada Allah, kan? 

hmm 
T.T

Sunday, March 25, 2012

Hipokrit?

adakah saat terjujur manusia bila dia melagukan
pengaduan, rintihan, dosa-dosa dia pada Tuhan?

entah

tapi tak aku tahu kenapa
coretan dia buat Tuhan itu
yang paling mengesankan jiwa!


_____
ps: jangan bimbang! kita tak hipokrit bila sedang buat baik. kita cuma sedang kembali pada fitrah.

mesin basuh rosak.

satu pagi di pagi-pagi yang indah 
ummi: akak, mesin basuh rosak. akak kena buh ayaq sendiri 
akak: oh, okey!
ummi: tapi, bila kena buh ayaq sendiri, baru ummi perasan, selama ni kita guna banyak ayaq. patutla bil ayaq naik




_____
moral: bila Allah sedang 'menguji' dengan sesuatu, itu bermakna Allah sedang 'mengajar' sesuatu. oh, bukankah? kool lah dengan ujian! :)

homey; selamat memanfaatkan cuti :D

dua dalam satu.

satu petang di petang-petang yang indah
ammar: akak, fizik ammar A+, he he! (atau bahasa lainnya; akak, fizik ammar A+, fizik akak C+, he he!)
akak: cehs! tahniah laa tapi 



_____
tengah 'basuh' dia ambik engine uia, silap-silap boleh 'basuh' sekali masuk usrah, huhu
kalau result gempak, akhlak mau gempakS bro x)

#spm2011

Saturday, March 24, 2012

Murobbi I, II, III, IV.


andaikan aku sebatang pohon;
dia yang pertama 'menghidupkan' aku
yang kedua 'menyuburkan' aku
yang ketiga 'menyemaikan' aku
dan yang ini, -keempat
'memaknakan' aku

!الله يرحمكم

Isabella.



oh sayang!
'play' dari mp3
tak memperdengar huruf-huruf
dan melagukan bab-bab

kalaulah ada
saatnya ada yang bertanya
"nak mainkan buku apa?"

pastinya aku berkata
"err, isabella?"

"..ada?" 


_____
promo: isabella; sebuah novel pembentangan perbandingan antara islam & kristian

Refleks III.

bila taqwa 'kan sampai padamu huruf-hurufku
hingga kau, aku menyatu
mencintai Tuhan yang satu?






_______
"tidak lurus (istiqamah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus, dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya." hr ahmad

Friday, March 23, 2012

Refleks II.



dalam perjalanan malam
kau temukan aku
dengan realistik
hikmah, matang
dan ikhlas

realistik; kau berdepan dengan hakikat
saat angan-angan panjang mencelah
dan cuba-cuba menipumu

hikmah; kau memandang hidup
dengan kaca mata putih
sekalipun dunia gelap, hitam

matang; kau bimbing-didik emosi
pedulimu semata neraca
dan pertimbangan-Nya

ikhlas; bila telah mula kau rasakan 
pandangan jelek tak memualkan, 
bahkan obor-obor, hijrah 
maju menuju Tuhan

_____
swn/iium

Thursday, March 22, 2012

16:17


cukuplah diammu saja
menundukkan egoku
saat sesekali aku perlu 
merasa di sini,
.. di bawah.


Wednesday, March 21, 2012

Refleks.



dan burung pun, ketika punya sayap untuk terbang tinggi
masih tunduk, merendah, dengan dua pasang kaki


--


ketika aib-aib terpamer tak tersengaja
aku resah merasakan ber-dosa
atau kecewa dilihatnya manusia?


hmm

bila ekspresi jujur menyentuh deria-deria, fuh!


antara pilihan & fitrah.



A: aku doktor, kerana itu adalah pilihanku
B: aku ibu, aku isteri, kerana itu adalah fitrahku

menolak pilihan, mungkin ada 'pilihan' lain
mengabai fitrah, adakah 'fitrah' yang lain?

pendek kata, belajarlah menjadi produktif
agar fitrah tak terabai 
dan kita, bebas memilih!

hmm? :-0

_____
 "الأم مدرسة إذا اعدتتها اعددت شعبا طيب الأعراق" 
"ibu adalah madrasah (sekolah), jika engkau mempersiapkannya, bererti engkau telah mempersiapkan bangsa yang hebat dan kuat." -hafez ibrahim       


adm iium
mac'12

Tuesday, March 20, 2012

draft yang baru nak publish.

"kakak.. kat maner anis nak letak kereta anis tu?"  
"hmm، bila dah ada kereta, anis 'terpaksa' peruntukkan satu "portion" untuk kereta di hati, kan?"

kena difikir-fikirkan, harus dijaga, mesti diatur. 

refleks hidup kita; nikmat atau ujian yang Allah bagi, sama ada berbentuk "orang" atau "barang", mahu tidak mahu, kedudukannya akan ada di hati. (al-imran:14) sama ada suka atau tak suka, cinta atau benci. 

erm, tapi masalahnya bukan itu. bukan! 

cuma sejauh mana kita berusaha menjaga "portion" itu, agar sentiasa berada dalam ruang lingkup, -ALLAH? 

dan, kalau terlebih atau berlebih-lebih, takut-takut kita bukan lagi hamba Allah, tapi 'hamba' makhluk. (al-baqarah:165) bila telah melangkaui 'garis' -ALLAH, maka jadilah hati itu selalu resah gelisah. bimbang kehilangan, tak rela berpisah, tak redha dengan takdir, dan sebagainya. 

naudzubillah. 

"tapi, akak tau. kes anis bukan masalah resah gelisah tu. kes anis, cuma masalah tak dak parking kan? (baca: student uia er..alhamdulillah kaya!) heh"

Allah, tumbuhkan cinta pada segala yang Engkau cinta! 
dan bimbinglah aku untuk untuk mengurus 'cinta-cinta' itu.

"taqwa menuntut saya untuk kekal sedar agar kekal ada upaya mengawal diri. sebab itu saya mesti mampu melakukan muhasabah ke atas diri sendiri." -saya bukan fahri ayat-ayat cinta, ust hasrizal  


_____ 
oh, adakah minggu ini midterm juga secara tiba-tiba telah menjadi sebahagian dari portions dalam hati -hati anda? tahniah, dan semoga berjaya :') 

ps: hai anis! xP 

Friday, March 16, 2012

"Bidadari Semut"


di satu pertemuan, gadis-gadis semut Malaya, atau boleh dikatakan program julung-julung kali yang mengumpulkan sejumlah semut-semut Muslimah, terhimpunlah beberapa gadis semut yang ayu, santun, cantik, jelita, bijak pandai, dan ah, kesemuanya nyaris sempurna!

boleh dikatakan matlamat program "Bidadari Semut" ini tercapai, memandangkan telah sukses menghimpunkan gadis-gadis semut dari utara, selatan, timur, dan barat. oh, jangan tak tahu, Sabah dan Sarawak juga!

sebelum memulakan slot seterusnya, mengerumunlah dua tiga ekor sekawan yang masih 'single-tra-tang-tang', pada dua tiga keping biskut gula yang disediakan pihak komiti. malah, air teh juga ada dihidangkan bersama, buat penyegar mata-mata yang lali.

sedang-sedang mengunyah dengan rancaknya, berkatalah si B dengan nada penuh semangat:

"kita perlu jadi cantik! golongan yang manusia gelar-gelarkan "lelaki" itu, sukakan kecantikan. kita cantik, mereka senang. kerja di luar tambah ligat, tambah hebat!" E kelihatan terangguk-angguk. si C, pegang cermin. si D, tenang saja, menempel senyum.

"ah, kalau begitulah kata kau, B..maka aku perlu diet lagi. berat badan masih belum ideal!" C mengeluh, kasar.

"ah, muka pun masih berjerawat, aduh! ini, tak boleh jadi." E menyampuk. 

"aku juga! sedang isteri, kalau berhias-hias untuk suami, pahala ganjarannya! aku harus bersedia untuk itu, sebelum melangkah ke alam rumah tangga." giliran B mengulang kata.

"kau pula apa cerita, D? diam saja? dulu, kau yang semangat bila masuk bab-bab kewanitaan dan kecantikan nih." soal B, menjuih bibir.

"aku.." D mengambil nafas. teh panas dihirup, sopan.

"aku.. aku.. terasa seperti sudah lelah. malah, bila difikir-fikir, aku tidak mahu yang manusia gelar-gelarkan 'lelaki' itu menjadi 'hamba' pada kecantikanku. bagiku, itu bukan kekuatan untuk mereka-mereka bekerja. itu hakikatnya, kelemahan kawan-kawan!" A, B, C, E terdiam. masing-masing tertanya-tanya, akan kelainan fe'el si D hari ini. sedangkan, dia itulah juara tip-top, paling kerap masuk gym. 

mata bulatnya mengitari anak mata yang lain, sebelum berkata lagi:

"dan, aku tak mahu diriku sekadar menjadi 'hamba' nafsunya, untuk bersolek dan sebatas berhias-hias. atau hanya memilih gamis indah, atau perhiasan untuk dikalungkan pada leher, kaki, dan sebagainya, kerana bagiku kita masih punya tugas mulia yang lebih prioriti!"

C tercengang-cengang. B garu kepala. A terkebil-kebil. E tenggelam dalam lautan teh buat kali kedua. oh, pertama kali dia menemukan teh sedap agaknya.

"bunian mana yang hasut kau, D?" pecah juga kata yang membelenggu ruang fikir si B. 

"aku yang selama ini, bunian! lebih teruk lagi, bunian yang buta. dan hari ini, di sini, sepertinya aku telah menemukan cahaya! yang bersinar-sinar menerjah masuk relung hati aku ini." D mengepal penumbuk, dan menghentam dadanya dua tiga kali. C terpempan. E tersedak. air teh yang terhambur keluar, ditenyeh-tenyehnya dengan kaki. bibirnya dikemas-kemaskan. ah, perosak imej!

"apa yang kau temukan?" C pantas menyoal, pelik. langsung bingkas menyorokkan cerminnya, dan kembali menumpukan perhatian.

"waktu berjalan-jalan tadi, aku temukan sejarah moyang kita; (an-naml: 18-19). aku tatap lama, aku baca, dan sempat juga air mataku bergenang." D menelan liur, lalu menyambung lagi:

"bagiku, beliau sungguh hebat! di sinilah, aku temukan peranan gadis-gadis macam kita ini, bukan sekadar untuk berhias-hias saja. malah, mulia kita adalah pada kehormatan kita, dan bukannya pada tarikan kita!"

"aku tak faham." A menggeleng kepala.

"pernah kau dengar tentang Nabi Sulaiman?" keningnya terangkat, menyoal.

"sepengetahuanku, Nabi Sulaiman itu satu-satunya yang boleh mendengar percakapan kita. benarkah?" A kembali menyoal. B mengangguk, laju. lalu, dia senyum lebar.

"waktu perjalanan Nabi Sulaiman merentasi lembah-lembah moyang kita dulu, kawan-kawan tahu siapa yang berperanan memastikan keselamatan keturunan kita?" yang lain membuntangkan mata, menegangkan leher, dan makin semangat mendengar. kecuali C, yang  dari tadi tampaknya masih ragu-ragu.

D membiarkan keadaan diam sejeda, buat meraikan akal kawan-kawannya berfikir.

"an-namlah, moyang kita! bukankah beliau yang mengingatkan teman-teman yang lain supaya berjaga-jaga? takut-takut nanti dipijak Nabi Sulaiman dan tenteranya, tanpa mereka sedar?" 

C menggigit bibir, mula curiga.

"uniknya, di situ Allah gunakan kalimah "qoolat" yang bermakna, -"dia (betina) berkata". ah, mungkin saja itulah permaisurinya, atau lebih tepat, beliau dalam kalangan-kalangan kita juga! yang gadis-gadis dan wanita-wanita ini!" C masih diam, tapi kali ini sepertinya sudah mula sedikit percaya. 

"lalu apa yang kau mahu bawakan pada kita-kita ini?" A pula mencelah.

"kecantikan itu penting, tapi ada yang lebih penting untuk disiap-siapkan. aku lebih sedihkan diriku yang masih melayan emosi-emosi diri sendiri, sedang aku adalah bakal ibu. aku lebih risaukan diriku yang masih belum punya kemapanan ilmu, sedang tugasku adalah mendidik generasi. aku lebih bimbangkan keadaanku saat ini, yang masih tak berupaya menjaga dan mengurus diri sendiri, sedang nantinya yang harus aku jaga, lindungi, dan pelihara, bukan saja diriku sendiri."

E berlalu, tanpa kata. katanya sebelum melangkah pergi, "aku malas ambil port. bai!"

"tapi D.." C mulai bingungsuasana sedikit tegang. D sedikit gelabah, namun cuba-cuba  menyesuaikan diri, menyusun kata.

"dan juga, kalau kecantikan yang dikejar-kejarkan, kita hanya mampu memuaskan hanya seorang, C! malahan, kecantikan kalau berlebih-lebihan, dan melalaikan, dibawanya kita ke neraka. malah, aku tak yakin aku mampu mengekalkan kecantikan selama aku hidup, sebab aku ini bakal tua kerepot." A sengih-sengih, sambil otak visualnya membayangkan D yang telah menggelambir kulit wajah. ah, buruk! dia secara tak tersengaja, mempertonton kengerian di wajah, sepertinya D di masa tua, buruk yang sungguh-sungguh.

"aku tak mahu itu. sedangkan iman dan ilmu pula, yang kita puaskan bukan hanya seorang, malah generasi dan umat! paling penting, membawa kita dan mereka ke syurga. malah, kekal buat selama-lamanya!" D menyiku si A yang masih berangan jauh. pantang diajak berkhayal, jauh saja otaknya merantau, tak pulang-pulang. D mendengus.

"macam mana kalau tiada yang mahukan kita-kita yang masih single available nih?" D tergelak, kuat. seraya dikatup mulutnya yang tak tertahan-tahan, mahu gelak lagi. soalan si A terasa seperti soalan paling kelakar dalam dunia semut.

"kalau mereka tak perlukan aku untuk tujuan murni, aku malah, lebih-lebih tak memerlukan mereka." jawabnya, selamba. lalu, ketawa lagi. kali ini lebih sopan, dengan bibir mungil yang tertutup.

"siapa kita, menentukan apa yang kita paling mahukan dalam hidup. sayangnya, aku telah salah mengukur 'hidup', tanpa mengikut neraca Allah dan pertimbangan iman. hmm, tak apalah. sekurang-kurangnya, aku mahu Nabi Sulaiman senyum lagi, mendengarkan kata aku kali ini. sebagaimana, dia pernah senyum mendengarkan kata-kata moyang kita dulu." 

dan semut-semut yang punya hati lurus dan lembut itu, mulalah membina azam, memasang cita-cita, dan meletakkan prioriti dalam hal-hal yang lebih utama dalam hidup mereka; menjadi gadis-gadis semut solehah seantero dunia! 

"aku yakin, Nabi Sulaiman pasti senyum lagi." sengih si D, dengan bibir mungil yang masih tertutup rapat. 

Allahhu Musta'an!


_____
ini kisah benar, cuma wataknya bukan semut xP
dan babak, dialog, jalan cerita, diubah mengikut selera-suka-hati

moga Allah selalu bagi kekuatan & kesabaran untuk terus belajar, hmm.
menjadi 'pemuda/i' yang tercatat peribadinya dalam Al-Quran! (al-kahf: 13-14)

Thursday, March 15, 2012

Neraca.

"akidah yang benar menentukan cara pandang kita pada kehidupan"

lihatlah bagaimana kepincangan Yahudi, yang 'menanggapi' dan 'melayani' manusia-manusia lain seperti 'haiwan', hanya kerana mereka berpegang pada akidah; 
"kami adalah umat yang dimuliakan Allah, dilahirkan dari keturunan Adam, sedang manusia yang lain berasal daripada haiwan"
Allah, tunjukkan kami yang benar atas yang benar!




_____
ps: selamat mencari & menemukan yang benar, hati-hati soleh! :) #struggle

Wednesday, March 14, 2012

pintu hati.

a. erm, cantikla baju yang dia pakai nie. mesti mahal. hisy, kalaulah aku kaya (tak bersyukur@angan-angan palsu) 
b: eh? itu bukan tu ke? apa dia buat dengan brader tu kat situ? (sangka buruk) 
c: benda-benda remeh camtu pun nak cerita kat fb, hish tak malu ke? ('ujub/rasa diri bagus) 
d: oh, dia nie couple dengan orang nie rupanya, tengok sikit gambar dorang(sibukkan diri dengan hal sia-sia) 
e: hmm, dia minat orang lain rupanya. cantik pulak tu. huh, siapalah aku? (rendah diri, dan sedih dengan hal tak sepatutnya) 
f: haihh, nampak rapat dua-dua orang nie. mesti ada apa-apa nih. (sangka buruk, lebih buruk kalau diceritakan pada orang lain@mengumpat) 
g: baju kaler tu dengan beg kaler tu? hisy, tak reti match ke? ('ujub)

--
saya tak rasa, orang mudah terlepas dari 'godaan-godaan' atau 'hasutan-hasutan' seperti ini
malah jujur, akur diri sendiri tak pernah terlepas

meski tak dikhabarkan pada orang lain, bukankah bisikan hati itu hakikatnya turut mengganggu kejernihan hati? dan syaitan itu, ada saja teknik atau taktik halusnya

baik 'memandang' di alam nyata, mahupun di alam maya

mungkin sebab-sebab inilah, 'menundukkan pandangan' menjadi sebahagian dari perintah yang termaktub dalam Al-Quran, supaya hati kita lebih terdidik untuk tawaduk, syukur nikmat, menghormati orang lain, dan tidak menyibukkan diri dengan hal yang sia-sia, dan hikmah-hikmah yang lainnya

hmm, mujahadah sangat sukar, bukan?
tapi, sungguh! Allah menjanjikan kelazatan dan kemanisan iman bagi yang memenangkan!

dan aku selalu mengulang, mencita-citakan itu 
menjadi bahagian dari akhlakku
mahukah kau, mencita-citakan hal yang sama?

Allah, sabarkan kami dalam mujahadah kami.
ameen. 

Monday, March 12, 2012

apa alasan, aku dan kau malas membaca?


dulu guru kita mengajar kita 
iqra' itu sebatas wahyu mula 
secalit sirah, 'uzlah Baginda
sekitar hafalan anak tadika
hari ini ingat, esok-esok lupa
kewajaran; aku dan kau 
malas membaca

hari ini, murobbi kita mendidik kita
iqra' itu sebanyak rasul demi rasul
sejauh zaman demi zaman 
sejarak tahun demi tahun 
seluas kota demi kota
sebesar mukjizat demi mukjizat
lalu, apa alasan;
aku dan kau, malas membaca?

--
kata Ustaz, zaman ini tak perlukan peranan Rasul lagi, sebabnya zaman ini zaman teknologi maklumat; ada buku-buku, ada internet, dan lain-lain yang memudahkan dan melancarkan komunikasi. yang kita perlu, hanya ‘MESEJ’. dan Allah telah melengkapkan ‘MESEJ-MESEJ’ itu dalam Al-Quran (al-maidah:3). sebab itu, Al-Quran ini mukjizat terbesar Rasulullah S.A.W. tinggal pada kita saja, untuk iqra’!

subhanallah

maka, bukankah tugasan iqra’ (zaman ini) itu kalau dihitung-hitung secara kasar, "menyamai" peranan Rasul (zaman dulu) yang menyebarkan risalah? dan "menyamai" sejumlah bilangan Nabi (zaman dulu) yang diutuskan?

rasanya, kita sudah boleh agak kenapa malaikat Jibril berbisik pada Rasulullah, iqra’, iqra’ dan iqra’ berulang-ulang kali.

hahhhh, set sail my love!




_____
kelas akidah; nuzulul wahyi
ustaz, andalah murobbi yang kami perlu! :')

Sunday, March 11, 2012

bila jeans dipadankan baju kebaya.


"..bila saya katakan tajdid pada busana, ini bermakna awak kena kembali kepada busana Melayu yang dasar. dasar busana Melayu itu selain punya falsafah dan konsep tertentu, kaya dengan nilai adat serta adab dan menampung makna agama kita. bukan main pakai sahaja. busana Melayu bukan main sarung sahaja. 
kreatif bukan lesen untuk sembrono menggabungkan kebaya dan seluar jeans, misalnya, kemudian mengenakan mini telekung. ini kesesatan. tajdid ialah usaha untuk kembali kepada yang asal, dan asal kita ialah agama dan adab. 
kita 'kan orang Melayu, mana santunnya kalau gadis Melayu berseluar jeans ketat, carik di lutut, bercoreng tulisan di punggung dan kemudian dipadan kebaya? ini kreatif songsang dan berniat jahat ke atas budaya Melayu.." 
-faisal tehrani, manikam kalbu, hlmn. 53
---

kadang-kadang, puisi-puisi kita pun sepertinya dipakaikan 'jeans' dan baju kebaya. konon-konon, adalah satu seni bila 'moden' digabungkan dengan 'tradisi'.

"ya, tapi tradisi bukan bermakna moden. moden bukan bermakna Barat. jeans itu moden? jadi kurung belanga itu tradisi? saya rasa itu pendekatan yang salah." -hlmn. 54

lebih kurang sopan lagi, apabila puisi-puisi pun disentuh dengan unsur 'erotik'. terang-terangan; didedah-dedah dan dibuka-buka. 

sedangkan mukjizat agung paling indah, paling mahsyuk, paling seni (baca: Al-Quran) pun 'menyembunyikan' hubungan lelaki-perempuan, dengan lafaz, "اللمس - 'al-lams' - sentuh" (an-nisa':43), "الحرث - al-harth - ladang" (al-baqarah: 223); cukup sembunyi, cukup rahsia dan cukup terjaga..

dan kisah Yusuf A.S dan perempuan Al-'Aziz pun tergambar dengan cukup diam, cukup halus, cukup sempurna tanpa dibuka-buka atau didedah-dedah.. 

lalu bagaimana pula puisi-puisi yang 'terbuka' sebegini diangkat popularitinya menjadi paling indah, paling mahsyuk, dan paling seni? err, kemodenan=kebaratan? mengulang kata Cikgu Natasha (watak dalam Manikam Kalbu), "ini kreatif songsang. saya rasa, itu pendekatan yang salah."

nampaknya duhai Cikgu Natasha, bukan pakaian kita sahaja yang harus kembali pada dasar agama, seni-seni lain (baca: puisi, filem) juga!

oh! 

di mana Cikgu Natasha? bolehkah saya diajar?
di mana Tuan Guru Haji Nuh Ha Mim? bolehkah kita berguru? 

huhs

Allah itu indah, dan Dia sukakan keindahan. 
yang dari Allah, dan kembali pada Allah, tentu itulah yang indah. (al-baqarah:138)



____
ps: kalau belajar puisi arab dalam kelas, unsur 'erotik' banyaknya wujud dalam puisi zaman jahiliyah. hmm, apakah kita 'mengiktiraf' yang jahiliyah.. ?

*erotik: maksud

"apa kau akan buat, kalau kau jatuh cinta?"



satu hari dari hari-hari yang indah;
a: apa kau akan buat kalau kau jatuh cinta?

b: berlari.

a: eh?

b: kalau aku betul bersedia, larian aku akan makin laju, mendekati dia. dia akan nampak aku, dan aku akan nampak dia. tapi, kalau belum, larian aku akan makin perlahan, menjauhi dia. dia tak akan pernah nampak aku, dan aku akan berusaha untuk tak nampak dia.

a: semudah itu?

b: ya, cumanya laju atau perlahan, dekat atau jauh, mahu aku yang di satu trek saja. trek Allah!

a: jadi, kau yang mana? perlahan atau laju?

b: heh. aku belum mahu berlari, masih berjalan-jalan.

a: hah? bajet, haha.

Saturday, March 10, 2012

karangan autobiografi paling pendek.

sistematik

bebas

kool

sweet

aku, tukang cerita paling bisu pernah anda-anda temukan. tapi, sungguh amat kenal anda-anda sekalian. dan paling mampu memunculkan; senyum, gelak, tangis, gembira, sedih, marah, takut, benci, sayang dalam cerita-ceritaku yang diam, tapi ramah itu.  
uhhh, kenalkan; aku sekeping gambar.


____
editor: anyss 
memori: sum/iium/sem(ii) '12 :)