Pages

Sunday, July 31, 2011

Sabtu.

jalan-jalan, lebuhraya sesak
renek jalanan segar
konkrit tinggi mekar

"laskar pelangi" nidji
bersipongang, kuat
alunan anak jantan
suara keras
tubuh gempal

dan khayal kakak
awal 20-an
sempat menangkap
senyum walid
dari lensa
cermin pandang
belakang.

-sabtu, petang. :')


Friday, July 29, 2011

Sempit.



aku, sedarmu jendela. konon, sembunyi. menutup ruang-ruang dosa. tenggelam, aku dalam buta yang sesungguhnya. diam, tak peduli. haram, tak kisah. 

ada, ya.
ya, ada. 

ada satu detik, jiwa terus mahu pura-pura. mata mahu tetap pejam, tak endah. mahu kuat-kuat jerit, pekak seketika. mahu angkuh, mahu tak peduli, mahu tak kisah atau apa, jendela akan terus luas terbuka. menyingkap satu hakikat; di bawah kepala. Dia Tuhan, dan aku hamba. 

mahu lari? mahu malu? mahu hilang? mahu sembunyi, tak ada tempat selain kembali. hanya Dia. 

sempit, bila berdosa.
sempit!


Wednesday, July 27, 2011

Cuma, RINDU.

"Abang nak makan. Lapar la." Haziq merengek, manja.

"Jomla, teman abang." Sekali lagi dia merayu.

"Adyan!!!!! Jom?" Kali ini lebih kuat lagi. 

"Heh, Adyan?" Mata Adyan membulat. Langsung tergelak kecil. Dia berkalih. Majalah Solusi diletakkan di sebelah. Haziq dirangkul. Pipinya dicubit dan dicium. 

"Abang.. mana boleh panggil Ucu macam tu." Kak Ain menegur. Bantal-bantal yang berselerak atas karpet, diletak kembali ke kedudukan asal. Alat kawalan jauh bersebelahan televisyen dicapai. Dari 105-Prima dia mengalih siaran ke 106-Oasis. Rancangan Dr. Fadzilah Kamsah sedang disiarkan. Punggungnya dilabuhkan ke atas sofa. Lantas sesekali tersenyum dengan gelagat penceramah yang agak lucu. 

"Hmmm.. dah pukul lima setengah pun. Lagi dua jam saja. Tahan kejap ok?" Kepala Haziq digosok perlahan. Rambut hitam pekatnya yang tebal bergerak ke serata arah. Serabut yang comel. 

"Dua jam lagi? Lambatlaaaa Ucu.." Haziq mengeluh panjang. 

"Haziq lapar. Lapar sangat dah ni!" Haziq merayu-rayu lagi. Perutnya diusap-usap. Adyan serba-salah. Kak Ain menggeleng dari jauh. 

"Dia ok, Adyan. Akak tengok, aktif je tadi." Kak Ain senyum, masih tenang.  

"Nganga mulut. Sini Ucu tengok." Haziq menganga luas-luas.  

"Abang kan kuat, hmm boleh tahan lagi ni." Adyan meyakinkan.  

"Ok, fine. Abang nak makan apa? Nanti Ucu beli. Tapi, kena janji, tak gaduh-gaduh lagi?" Adyan masih memujuk. Bibirnya diketap. Haziq masih juga masam. Badannya dilentangkan, pura-pura letih yang sungguh. 

"Ataupun, kita pergi playground. Jom?" Haziq diam, berkira-kira. 

"Tapi, Ucu..taknak taman yang dekat sini. Sebab tak ada monkey bar. Abang nak pergi kat tempat yang boleh pusing-pusing tu!" pinta Haziq. 

"Oh ya, kita ajak Achu sekali eh?" tukasnya lagi.  

"Achu kerjalah, Bang.. Kita ajak Luthfi sajalah, ya?" Haziq akur. Kak Ain hanya menggeleng. Tangannya masih ligat melipat kain.  

"Ambil kunci kereta. Tunggu kejap, Ucu siap." Adyan sengih. 

Terkenang-kenang, dulu Ummi pujuk dia macam mana? Macam Haziq? =.='















____
ramadhan makin terasa. oh, hadiah untuk semua! di sini.

inspirasi: mhi tv3, slot: puasa zaman kanak-kanak. awesome! kata tetamu jemputan, untuk adik-adik@anak-anak yang baru berlatih puasa tapi gaduh lapar & dahaga, alihkan perhatian dia dengan ajak dia main games@ bersiar-siar. biar dia lupa sekejap. ganjaran "makan-sedap" waktu berbuka lebih baik dari "wang ringgit". dan.. jangan lupa untuk teruslah memuji dan menghargai. xD

ramadhan kareem.







Fake.



"..I do blame myself because...
There were times that I smiled but was boiling inside
That I could have talked but kept quiet
That I should have explained myself but waited for you to ask the questions

Pretend, I couldn’t no more
I had to come clean and ask forgiveness from Allah
Because I knew the wrong from the right all along
But I was trying so much to please people and to be accepted
However, there is no displeasing Allah in pleasing others

This didn’t go down well with you
But the spring cleaning has to continue no matter what
Yes, I might have made some rash decisions
And taken some bold steps
I might seem uptight and strict now
On my part, I am trying to be the best Muslimah I can be
As we are instructed to practice to the best of our ability
If only you know how I am struggling with life and my deen
You will know I am not as strict as you thought
The holier-than-thou attitude you perceive is all a farce.."



_____
".. if only you know how I am struggling with life and my deen
you will know I am not as strict as you thought
the holier-than-thou attitude you perceive is all a farce.."

fake it, to make it.
:'(

*kredit pic: sumber

Hanya kerana.

Kadang-kadang, kita rasa seseorang atau orang lain "meMALUkan". Konon, "aku" lebih baik, kerana menutup aurat rapi, kemas, dan mungkin terasa diri sudah berakhlak baik. 

Tanpa sedar, mungkin kitalah sebenarnya yang meMALUkan. Adakalanya seseorang atau orang lain yang kita maksudkan tadi, "hakikat"nya lebih baik dari kita. Contohnya, dia mungkin pandai ambil hati orang tua, berdikari, pandai buat ini, itu. Dan lain-lain. Hanya satu, mungkin kerana sedikit jahil ilmu agama, dia begitu. 

Sedangkan, "aku" yang baik tadi, meski sudah menutup aurat, berakhlak baik, tapi mungkin saja masih menggunakan duit ibu bapa untuk belajar. Masih bergantung sepenuhnya pada mak ayah. Kerja-kerja rumah pun masih tak beres. Nak ke sana ke sini, masih perlu dihantar. Nak makan itu ini, masih perlu dihidang. Nak buat keputusan pun, masih perlu jawapan. Diuji, masih perlu sokongan tanpa mampu berdiri atas kaki sendiri. 

Belum superwoman.

Fikir-fikir. Bukankah seorang muslimah-yang-pegangan-agama-kuat, HARUSnya lebih baik?

Bila sedar macam ni, kita takkan ada masa untuk nilai orang lain. Takkan judge. Takkan hina. Takkan perlekehkan. Takkan kutuk. Takkan keji. Takkan ada perasaan tak suka. Takkan terasa diri hebat dan tinggi. 

Hanya kerana "aku" pun belum muslimah,
-Sepenuhnya.


Wallahhua'lam.



Sunday, July 24, 2011

antara dua.



Adyan meraba-raba Al-Quran mini kesayangan. Bermenung, dalam kaku. Sementara otak masih lagi ligat memutar kata-kata Ibu Halimah. Kata-kata biasa namun terasa sungguh menikam. Emosi terasa meragam, tidak menentu. 

"Sedaplah Ain masak. Lain dari yang lain." 

Lembut sopan, Ibu Halimah memuji. Adyan terdiam. Kata-kata itu tidak berbentuk sinis atau sindiran, tapi entah kenapa dia terasa yang dia bukan menantu yang baik. Bukan menantu pilihan dalam keluarga ini. Bukan terbaik dalam segala-galanya. 

"Adyan belajarlah dari Ain. Mana tahu, esok-esok boleh buka restoran." 

Sambungnya lagi, sambil sibuk memandang tumbuhan hijaunya dari kekisi jendela dapur.  Adyan sekadar melempar senyum. 

"Mana boleh lawan Kak Ain, Bu.. Adyan jadi tukang basuh pinggan, boleh la!"  

Lantas bersuara, masih lagi berwajah manis. Seulas bawang dihiris nipis-nipis. Kak Ain dari jauh mengangguk-angguk sambil cekatan mengacau kuah kari. 

"Adyan.." Sergahan tiba-tiba membuatkan Adyan tersentak. 

"Eh, ya?" Akurnya, sementara tangan lekas mencabut kain telekung. Melipat kemas, dan menyangkutnya semula ke penyidai kayu yang setentang dengan katil.

"Awak O...K?" Nazhif memandang, pelik. Adyan pura-pura tenang, seraya mengangguk laju. Nazhif mengeluh perlahan. Kopiah putihnya diletakkan di atas almari berkayu jati yang agak kukuh dan tinggi. Dengan sedikit menjinjat, dia lalu menyimpan Al-Quran di rak paling atas.

"Maaf..saya tak pandai masak." Adyan menunduk lemah, merebahkan punggung di atas katil. 

"Adalah yang tak kena ni kan? Tiba-tiba saja?" Giliran Nazhif duduk. Bersebelah, cuba-cuba mendengar luahan. 

"Memang betullah kan? Kita pasti terdorong untuk membanding-bandingkan, kalau ada dua pilihan. Awak tak rasa macam tu?" Adyan berbasa-basi. Nazhif mengangguk, setuju.

"Tapi, awak kan ada pilihan lain, Adyan.."

"Saya malu, sebab tak mampu jadi macam Kak Ain. Saya minta maaf, perasaan ni memang tak patut ada. Tapi tadi, saya rasa macam saya dibanding-bandingkan dengan Kak Ain. Saya tak..tak boleh ja..ja di macam dia!" Sebak mula menguasai suasana. Patah-patah kata makin lambat, akhirnya Adyan hanyut dalam air matanya sendiri. 

"Kalau Ibu ada dua pilihan, awak pun ada dua pilihan, Adyan.." Nazhif melutut di bawah. Rasanya lebih baik dia bersemuka, dan bersetentang dengan Adyan. Adyan langsung berpaling, masih lagi serabut.

"Itu kan sifat manusia? Kadang-kadang, kita pun cenderung untuk memilih. Secara tak langsung, kita akan cuba membandingkan dua pilihan yang kita ada." Adyan masih diam membatu. Hanya esakan kedengaran, perlahan. Leleh air mata nyata masih merambu. Sesekali, dikesatnya menggunakan belakang tangan. 

"Tapi Adyan..saya lebih suka soalan yang awak tanya saya dulu. Kenapa hari ni bacaan Al-Quran lebih sikit berbanding semalam? Kenapa solat semalam khusyuk, hari ini tak rasa nikmat? Kenapa semalam kita boleh bertahajud? Hari ini kita terlepas? Kenapa semalam sempat Al-Mathurat, tapi hari ni tak? Kenapa hari ni tak sempat Dhuha, tapi sebelum ni kita mampu? Itu perbandingan yang lebih bermakna, Adyan.." Nazhif kemudian diam, cuba memberikan Adyan seminit dua untuk berfikir.

"Dan..kita boleh refleks dosa-dosa kita dalam seharian. Sebab apa amal hari ni kurang. Sebab apa hati tak terasa nyaman dengan solat. Sebab apa terlewat tahajud. Sebab apa rasa tak tenang, dan jauh dengan Allah. Belenggu dosakah yang buat kita jadi macam tu, atau sebab lain?" Sambungnya kemudian. Tegas namun lembut.

Wajah Adyan tampak lesu. Matanya memerah. Namun Nazhif mampu melepaskan nafas lega. Adyan kelihatan sedikit tenang berbanding tadi.

"Dan..kenapa hari ini saya terlalu sensitif dan bersangka buruk, sedangkan dah bertahun-tahun saya kenal Ibu?" Giliran Adyan menghembus nafas. Ditarik semula kali kedua, dan dilepaskan lagi.

"Hati saya yang tengah tak OK. Makna Al-Quran pun saya tak mampu hayati. Saya minta maaf.." Suara itu masih juga tidak ceria seperti selalu. Nazhif menggeleng laju.


"Bukan saya, Adyan.. tapi, Dia." Jari telunjuk dituding ke atas.


"Allah itu Maha Penyayang. Malam, Dia tunggu kita. Siang pun dia depakan tangan seluasnya untuk kita. Dia ada, sentiasa ada!" 

Air mata Adyan berlinang lagi. Taubat langsung mengiringi perjalanan hari ini. Kembali dia mengucup sejadah, menyembah kurnia agung dalam solat sunat taubat yang entah kali ke berapa.





Ameen.





____
"dan (juga) pada dirimu sendiri. maka apakah kamu tiada memperhatikan?" (ad-dzariyat: 21-22)





Down.

A: Kadang-kadang, aku rasa down. 

B: Kenapa?

A: Herm. Bila tengok kawan-kawan kita masuk U, keluar U, tapi aku tak, rasa cemburu tu ada. Bila tengok yang sorang ni berani bersuara lantang, yang sorang lagi hebat dengan pena, yang seorang lagi hebat bidang IT, aku rasa aku tak ada apa-apa.

B: Eh, kau pernah tanam pokok kan? 

A: Kau nak cakap, kelebihan aku kat situ ke? Tak mungkinlah! Tapi, pernah la dulu. Waktu kelas ERT. Bosan! Hehe.

B: Bukan tulah. Kau tau, bila kita tanam pokok, akar di bawah, bukan kat atas. Benihnya pun kat dalam tanah. Kita tak nampak. 

A: Kalau tak tanam pokok pun, taulah. Tapi, kenapa?

B: Benda yang di bawah tulah, nanti akan menumbuhkan bunga dan buah. Orang pegang bunga, cantik! Orang makan buah, sedap! Macam tulah, IKHLAS. Kita sembunyikan, supaya orang tak nampak. 

A: Tapi, masalah aku ni bukan soal ikhlaslah. Aku cuma down saja.

B: Ikhlaslah, terima potensi yang kita ada. Ikhlaslah beri apa yang kita ada. Tu lebih bermakna dari kita cuba membanding-bandingkan dengan sesuatu yang kita tak ada. Biar sekecil apa pun, ikhlas tu Allah yang kira. Amal-amal kita Allah yang terima, bukan manusia. Macam pokok tadi, yang mula dari benih yang manusia tak nampak, tapi "amal" dia, boleh jadi bunga dan buah yang lebat. 

A: Tapi, apa yang aku ada?

B: Fikir-fikir balik, perasaan down kau tu pun kelebihan tau? Cuma, kena turn positif sikit. Tukarkan rendah diri, kepada rendah hati. Jadi orang yang lebih positif. Merendahlah hati, supaya kita tak pernah rasa diri kita hebat. Syukurlah dengan kurniaan rasa down, sebab Allah beri kita peluang untuk rasa perasaan orang-orang yang mungkin lebih rendah "taraf"nya dari kita. Bila sampai satu saat kita bersama dengan orang-orang tu, moga-moga tak ada perasaan rendah diri macam kau sekarang. Malah akan seronok dengan keberadaan kita. Macam tu, kawan! Tak ke best jadi orang yang macam tu?

A: Bila selalu di bawah, baru kita rasa perasaan orang-orang di bawah kan? Hilang bongkak. Kurang riak. Lebih dekat dengan Allah. Tenang je hati kalau macam ni. 

B: Cuma tulah kan, kena selalu muhasabah balik. Tingkatkan iman, supaya kita tak ada perasaan cemburu la, dengki la dengan saudara-saudara kita sendiri. Boleh gelapkan hati tu! Silap-silap kufur nikmat, tak bersyukur. Lagi satu, tipulah kau tak ada kelebihan. Jadi cikgu tadika pun, ok what? Kau ingat, semua orang nak? Bukan senang tau nak layan budak-budak tu. Aku pun tak sanggup. 

A: Aku ikhlas, aku ikhlas. 

B: Well, jadi cikgu yang baik. Supaya berkat apa yang kita ajar. Pada manusia kita mungkin tak ada apa-apa. Biarlah, kan? Yang penting, ikhlas kita yang kat atas langit tu tengok dan kira. Itu yang penting. 

"Aku adalah sebagai penjamin yang memberi jaminan untuk seseorang memperolehi sebuah rumah di halaman Syurga iaitu bagi orang yang meninggalkan perbuatan berbantahan sekalipun perbantahan itu benar, dan juga sebuah rumah di pertengahan Syurga bagi orang yang meninggalkan perbuatan dusta sekalipun dengan tujuan bergurau senda, dan juga sebuah rumah di puncak Syurga bagi orang yang memperbaiki akhlak dan berbudi mulia." 
[Hadis Riwayat Abu Daud]





____
*tak kisahlah siapa pun kita, Syurga tetap kejayaan tertinggi dan abadi. kalau tak ada kelebihan pun, jadikan akhlak sebagai kelebihan. belajar berakhlak mulia. moga Syurga jadi milik kita. 

don't worry, be happy. 
chill, kawan! :)


Saturday, July 23, 2011

Audio.


klik SINI

sangat membantu, kalau-kalau ada yang terlepas.

sekadar perkongsian. (:



____
harapan ramadhan-15 julai. percayalah, sungguh membina! :')

*kredit pic: sumber



gadis abad ke-21.



1976.
"Bang Mat, ada surat dari Zahra?"
"Maaf Mail, tak ada minggu ini."

Bang Mat si tukang posmen, berlalu. Mail termangu, pilu. Aduh, seksanya merindu!


1985.
"Zahra, Abang..." 

Tut Tut.

"Hisy putus pula".

Lalu dimasukkan lagi beberapa syiling demi mendail Zahra tersayang. Nun jauh di desa seberang. Aduh, seksanya bila cinta menyerang!


1998.
"Jumpa di taman biasa ya. Petang ini, jam 5."

Cekatan Mail menaip mesej. Satu-satu kata. Sejam Mail menunggu. Namun, kelibat Zahra tidak mumcul-muncul. Rupa-rupanya, Zahra sedang enak tidur. Langsung terlupa baca mesejnya. 


2010.
"Senangnya dalam hati.." Abang Mail menyanyi-nyanyi sendiri. 

"Di mana-mana ada Zahra. Kalau rindu, ya! Lihat saja foto-fotonya. Hah, tak perlu juga susah-susah mendail. Dia pasti baca kirimanku. Tak perlu resah-resah merindu, kisah-kisahnya dekat untuk dibaca selalu. Tak usah diragu-ragu, aku tahu dia ada. Dia wujud, dia di mana-mana, dekat sekali denganku."

Kata Abang Mail, melonjak tinggi. Riang ria. 






___
inspirasi: puisi ini. manis-manis yang pedas. sungguh kool.

tanpa IMAN, tanpa TAQWA, tanpa ILMU, tanpa MALU. sukarnya jadi gadis-abad-ke-21. adakala, tertewas juga sekali dua.  *muhasabah, refleks diri sendiri.

Allahhu Allah, mohon perlindungan. ameen.

*kredit pic: sumber

Thursday, July 21, 2011

yang istimewa itu.




ikhlas mampu melawan cerdik pandai
meski kita bodoh-sebodohnya

ikhlas mampu mencantikkan
meski kita hodoh-sehodohnya

ikhlas mampu meraih kecintaan
meski kita kurang kelebihan

ikhlas mampu melonjak martabat
meski kita rendah-serendahnya

usah cuba-cuba jadi orang lain
ikhlaslah menjadi diri sendiri

sungguh.
awak, istimewa.

ikhlaslah.

ikhlas,
(:


Wednesday, July 20, 2011

Cacat.



aku, kau
kita adalah komponen-komponen kosong
hati kosong
jasad kosong
akal kosong
terisi oleh apa yang kita lihat
kita baca
kita dengar

aku, kau
kita adalah mesin-mesin
adunan mata, telinga, akal, mulut
membentuk acuan-acuan
hodoh atau indah

aku, kau
kita adalah manusia
menegak mengagung
yang bualan hati
imbasan akal
adalah cerita kita, siapa kita
pada dunia
atau pada Tuhan?




____
"perkara yang aku sukai tentang dunia adalah wanita dan wangian, dan dijadikan penyejuk mata bagiku ketika solat."  ~HR An-Nasai'e & Imam Ahmad.

*solat kita macam mana? sejuk?  ;(




 kredit pic: sumber


 



sampah yang diadun-adun.

Angin nipis menebar halus tirai coklat keperangan yang berbondong-bondong. Fabrik kain nipis dan lembut dengan sentuhan warna desa membenarkan jalur cahaya menembus ke sekitar ruang bilik. Padan sekali warna tanah dengan grommetnya yang coklat tua. Moden klasik yang unik. Cahaya terang menerobos, namun tidak terasa panas.  

Buku-buku berserakan atas meja. Tafsir Fi Zilalil Quran yang berkulit tebal menganga luas, dengan pen penyerlah berwarna merah terang dikepit di tengah-tengah halaman. Kaca mata, bekas pensil, gugusan anak kunci, fail, buku nota, berterabur. Tidak ketinggalan secawan kopi yang masih berbaki isi separuh penuh, tidak diminum.

Dia terbaring atas sofa. Kaki dilunjurkan ke bawah. Tengkuk tersepit di celah lengan sofa. Sambil menggigit hujung bibir, pen di tangan kiri dilarikan atas bawah. Dahi berkerut seribu.

Dan, aku. 

Hanya pemerhati kosong di tengah laman berpermaidani. Bilik yang tidak seluas dan sesempit mana, cukup selesa sebagai ruang bacaan. Buku-buku seakan lukisan abstrak, tersusun berderet pada rak yang melekap kemas pada dinding. Bermula dari kitab-kitab tafsir pada rak yang pertama, hinggalah ke novel, majalah, buku masakan , buku komputer dan sebagainya di rak paling bawah. Bahagian tengah sengaja diletak buku-buku yang sering digunakan untuk memudahkan rujukan. Kain libas tebal jenis pashmina berona jingga lembut dan berjalur maroon dilapik memanjang atas rak sebagai penghias. Bahagian silingnya pula diserikan dengan lampu bulat yang kecerahannya kuning malap. 

Rak tinggi yang direka khas, dilengkapi tangga mini untuk memudahkan kerja-kerja mengemas dan menyusun. 

Nazhif tersengih girang. Setahun lalu, bilik ini kosong. Selepas Adyan datang, segalanya berubah sekelip mata. Ya, dia. Dia ID peribadi, dia "tukang-masak-campak", dia penulis, dia kawan, dia hakim, dia yang segalanya. 

Cukup. Cukup senaman mata yang puas mengitari dunia sekeliling. Tiba-tiba mata rasa letih, berbinar. Nazhif menggeliat. "Transformasi Ramadhan", cernaan minda Ustaz Hasrizal diletakkan di sebelah.

"Argggghhh."

Tangan kanan mengatup mulut. Berturutan dengan istighfar pendek. Air matanya yang bergenang disapu sekilas. Kelihatan Adyan tak berganjak, masih rancak menulis.

"Tulis apa dari tadi? Kongsi sikit."  

Adyan tersentak. Gemersik suara halus tiba-tiba mengetuk gegendang telinga. Nazhif kini tepat-tepat di belakangnya. 

"Bau kopi la. Heh, sedap." Adyan mengerling. Kemudiannya, senyum lagi.

"Ceh. Ke situ pulak. Sini, nak tengok. Tengah plan apa ni?" 

Kertas yang berconteng dakwat hitam bertukar tangan. Nazhif kaku membelek. Sebuah jadual ringkas. Ada ruangan aktiviti, tanda pangkah, dan sebab musabab. Ruangan terakhir pula dikosongkan. Empat kotak kesemuanya.  

"Hmm. Untuk Ramadhan?" Tanya Nazhif, spontan. Anak mata masih pada tulisan tangan Adyan. Tak berganjak walau sekilas. 

"Kita cut nightline k?" Adyan berkira-kira. Jemarinya menunjukkan kotak pertama. Matanya melekat pada Nazhif, menunggu reaksi. 

"Sebab nak tidur awal la. Esoknya, tak letih. Nak tahajud, dan masak . Taklah mengantuk kan?" Omel Adyan perlahan. 

"Ok." Nazhif tiba-tiba ketawa besar.

"Boleh ke nak tinggal sinetron ni? Petang, orang ajak jogging pun taknak."  

Geleng Nazhif.  Matanya menumpu pada line ke dua yang tertulis- "Cut sinetron petang."

"Kalau ya pun, cubalah bagi sokongan sikit."  

Adyan mencebik. Kertas dirampas sopan. Adyan berdiri menegak. Berjalan menuju ke kerusi bulat beroda. Pen yang masih di tangan berlari-lari lagi.

"Nak doa banyak-banyak, awak lebih soleh. Saya lebih solehah. Waktu petang, mulut makin pahit. Tekak pun makin kering. Waktu itulah doa dimakbulkan. Ini yang dari IKIM Jumaat lepas." 

Adyan berpaling sejenak, kemudian kembali menulis.

"TQ!" Nazhif menarik nafas lega. Senang.

"Kita biasa buat budget bulanan, list buku setiap bulan, to-do list setiap hari, list barang yang nak dibeli, dan lain-lain. Jarang kita buat planner untuk Ramadhan. Tq Adyan. Tq sebab jadi planner yang best!"   

Tulang pipi Adyan tersembol. Manis yang tak dibuat-buat. Suka dihargai.

"Ada lagi?" Nazhif membalas senyum.

"Last. Ini yang ke-20, kalau saya tak tambah esok.." 

"Apa?"

"Saya cut sinetron. Awak cut DOTA?"  

Adyan menjeling. Bibir sekali lagi melukis senyum. Dia tahu yang satu ini, susah. Dia boleh diajak berbincang. Dia boleh diajak belajar. Dia mahu diajak ke dapur. Dia rela disuruh membasuh pinggan, mengemop, dan lain-lain. 

Tapi yang ini..

"Hmmm..kalau yang ni, saya tak dapat janji la. Tapi, saya cuba." 

Perlahan saja, kata-kata yang diatur. Adyan mencuka. Kepala digeleng. 

"Eh, tak. Saya usaha buat." Nazhif memintas. Adyan senyum. 

"Janji?" 

Nazhif angguk.



 
muhd. nazhif; kenduri kak zulia/julai 2011.  (: 




____
 "The first draft of anything is sh*t." ~Hemingway

"I write to give myself strength. I write to be the characters that I am not. I write to explore all the things I'm afraid of. " ~Joss Whedon

"aku; patutnya tulis yang bermanfaat.. hmm." [=.=']

*inspirasi: ikim.fm; ustazah dalam segmen warna pagi cakap: ayah dan mak perlu buat planner untuk ramadhan. tak sabar terawih pertama. selamat merancang!





Saturday, July 16, 2011

Luka.





isteri
apa kau rasa
kerudung kau tutup
kau buka
wajah sepuluh tahun
masih sama

isteri
apa kau rasa
ulang-alik mereka
masih dahaga
kau mahu pejam
kau mahu lupa
sekejap
tak lama

isteri
apa kau rasa
tamu masih memaksa
hidangkan dia
seminit cuma

isteri
apa kau rasa?
sekali kau buka
dua kali
tiga kali
empat kali
lima kali
enam kali
dan mahu
kali ke berapa

wajah lama
jasad lama
pejam mata
tak buka-buka

isteri
apa kau rasa?

--

16 julai
bukit mertajam, 
penang.

_____
al-fatihah buat paklang.
isteri solehah, hadiahnya Syurga.
:'(

Friday, July 15, 2011

Kau Harus Ada.



kau mahu aku jadi perempuan 
kau paksa aku jadi ustazah
kau heret aku jadi chef
kau hendak aku jadi superwoman
kau harap aku jadi wakil rakyat 
kau mimpi aku jadi wira
kau angan aku jadi model 
kau cita aku jadi arkitek 
kau ingin aku jadi sahabat
kau pinta aku jadi isteri
kau suruh aku jadi ibu
kau arah aku jadi doktor
kau impi aku jadi novelis

kau pinta beribu,
aku pinta satu

izinkan aku jadi pelajar
sekolah aku, kehidupan kita

usaha turun-naik
jatuh-bangun
lulus-gagal aku
adalah sela-sela masa
hingga aku berjaya
memenuhi kesemuanya

dan kau adalah guru
teman, sepanjang perjalanan
sekolah kehidupan
kita!

promise?

terima kekurangan 
hargai kelebihan




_______
page 29; why mars and venus collide, john gray:

"..love is not a fantasy of perfection in which our every need is met, but sharing a life together, striving to meet each other's needs as best we can. forgiving our "partners" (read: hmm.. siblings? colleagues? best-friends? course-mates? et cetera) and accepting their limitations can be just as fulfilling as appreciating their many gifts and successes.."

"..real love does not demand perfection but actually embraces imperfection.."

*i just love being a life-long learner! (:




Thursday, July 14, 2011

Bebaskan.




diam kita bisu yang meranahkan
kata kita tombak yang mematahkan
tulis kita keris yang menghunuskan

apa kita tak bisa terlihatkan
apa saja yang terhidangkan
takkan mampu memuaskan

sedangkan hukum dan sistem Tuhan
manusia bisa bercanggah-canggah, bertabrakan
apatah lagi rasa kita, diam kita, tulis kita,
rentak dan cara kita, pasti hancur
dimusnahkan

daripada kita puaskan dunia manusia yang takkan
mampu dipermudahkan
takkan mampu diperturut-turutkan

apa kata, berserah pada Tuhan
cari jalan Tuhan
belajar sistem Tuhan
kerana di situ
terletak hujah yang takkan
mampu diperkalahkan

bebaslah melakarkan
cerita-cerita atau omongan
baik kita kata picisan
mahu visual hiasan
selagi ikut selera Tuhan
pasti ada kemenangan
bebaskan!

_____
juli 2011
penang

kredit pic: sumber

Wednesday, July 13, 2011

Ir.

Ir. , 

A sensor is a device that measures a physical quantity and converts it into a signal which can be read by an observer or by an instrument. ~Wikipedia.

 
++++

"Subhanallah, cantik!" 

Gumam hati.

Satu saat dia menemui saya. Berbaju kurung, dan bertudung labuh litup. Warna peach lembut, menyerlahkan ayu. Sepadan benar dengan kulit mulus yang cerah. Saya perasan benar perubahannya, cuma pura-pura biasa.  

Bertemu seseorang dengan hijrah kita yang baru, adakala mencetuskan rasa malu. Apatah lagi kalau ditegur perubahan itu dengan tiba-tiba. Maka, saya memilih untuk membiarkan dia saja yang bercerita dulu. 

"Saya..malu la Kak."  

Itu patah-patah kata pertama yang terpacul dari bibir. Dia tunduk lagi. 

Untuk membuang segan, kami berborak tentang tudung. Ya, sekitar jenis tudung. Kedai-kedai yang best. Warna yang sweet dan comey. Jenis kain yang ok, dan macam-macam. Lama-kelamaan, dia makin selesa.  

Boleh dikatakan, hijrahnya cepat. Hanya sesudah beberapa mesej yang masuk inbox Sony Erricson saya yang tak berapa nak mahal. Hanya sehari sebelum dia menemui saya.

"Akak, kenapa orang pakai tudung labuh?"

Spesifiknya, saya tidak pasti niat masing-masing. Hak peribadi. Saya tidak merasakan salah, selabuh atau sepanjang apapun, selagi mana menepati syariat. Jawapan saya, ada yang terbiasa sejak sekolah menengah. Ada yang lebih selesa dan selamat dengan tudung yang lebih besar. Paling penting, mungkin saja lebih melindungi aurat, kiri, kanan, depan  dan belakang, dan ini meraih darjat taqwa yang lebih tinggi pada pandangan Allah. 

Soal itqan kita, sejauh mana kita bersungguh-sungguh menjaga  aurat. Soal ihsan, sejauh mana kita berusaha meraih pandangan paling baik di sisi Allah. Dan, soal taqwa; penuh hati-hati melindungi sisi-sisi yang boleh mengaibkan diri. 

Tiga aspek yang saya sendiri masih terhegeh-hegeh belajar tentangnya. Menjadikan  kesemuanya sebagai AKHLAK dalam hidup, yang ternyata tak semudah mengunyah Mamee Monster. Usah dikira jatuh bangun dan bilangan gagal. Sampai kini, masih juga dalam proses itu. Sampai bila-bila sekalipun!

Ini bukan entri tentang jenis tudung. Bukan tentang aurat. Bukan tentang saya yang macam bagus. Bukan juga tentang dia. 

Tentang HIJRAH!


++++

KRONOLOGI HIJRAH.

Kalau diimbas-imbas, saya cuma merasakan hati adalah sensor terbaik yang Allah cipta.

1. ILMU--->IMAN.  

Tapi, perlu ILMU. Dan hasil percambahan ilmu, kita akan tambah BERIMAN. Contohnya, dalam ayat ini saja, Allah menggunakan "fa'lam". Tahu dulu! Kemudiannya barulah datangnya tauhid dan iman. Pendek kata, ilmu akan mencambahkan iman.  



Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan dan (ingatlah) Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).
[Muhammad:19]

++++


2. PENERIMAAN HATI.

Lalu, terpulanglah pada hati. Ada hati keras, yang tidak mahu menerima kebenaran. Dia akan terus buta, meski di dadanya penuh ilmu. Namun, ada juga hati yang lembut, dan mahu mencari kebenaran. Jalannya akan dipermudahkan, dan dia akan mendapat petunjuk.  


 

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.
[Al-Ankabut: 69]


++++


3. SENSITIF DENGAN AMAL. 

Makin lama, hati jernih ini akan nampak kecacatan diri. Jahiliyah pada diri akan tersingkap satu persatu. Dia akan jadi orang yang sensitif. 

Entahlah, cuma saat hati makin cinta ilmu Allah, makin kenal dengan Allah, makin dekat dengan Allah, kita akan rasa banyak yang tak kena. Rasa malu bercambah-cambah. 

Saat menonton tivi, andai ada yang tidak kena selera iman, hati rasa tidak tenang. Melayan lagu-lagu yang tidak soleh, hati terasa lain. 

Melayari fb, hari demi hari, kadangkala status kawan-kawan membuatkan hati terpanggil untuk tahu tentang hal orang lain. Boleh jadi terbit pula suuzhon-sangka buruk, lama kelamaan hati membengkak. Parah!

Yahoo! Messenger, kalau ditegur lelaki ajnabi tiba-tiba hati rasa tidak selesa.

Dan adakalanya rasa malu dengan entri-entri ntah-hape-hape yang dikarang sendiri.  Bukankah Venus-ians suka meluahkan perasaan, dan adakalanya sedikit emo? Hmm, saya  terpaksa akur. Ini kes diri sendiri.  

Dulu layan novel jiwang versi tak bagus, sekarang dah tukar genre bacaan. Dulu bersin tak kata apa-apa, sekarang dah mula "alhamdulillah". Dulu pakai baju tak baca bismillah, sekarang dah tukar style, ada nama Allah. Dulu, jumpa orang tak bagi salam, sekarang dah pandai  senyum dan "assalamu'alaikum".

Dan mungkin juga dulu Quran seminggu sekali, sekarang wajib tiap-tiap hari.

Makcik Zah selalu ulang dan ulang. Kalau dekat dengan Allah, Dia akan tunjukkan jalan-jalan kebaikan. Dia akan nampakkan aib-aib kita untuk diperbaiki. Dia akan permudahkan urusan-urusan kita. Dia akan selalu jaga dan pelihara kita.

Emm. Macam yang dikatakan dalam ayat ini.


"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yg benar. Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni dosa-dosamu. Barangsiapa mentaati Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar." 
[Al-Ahzab : 70-71]

4. KEKALKAN MOMENTUM SENSITIF


Tapi, jujur! Hijrah sungguh bukan mudah. Istiqamah lagi-lagilah terasa payah. Adakala hati menjauh dengan Allah. Ujian datang bila-bila masa yang akan menguji ketetapan hati, kekuatan janji, dan sejauh mana kita mahu dan sudah berubah? 

Bila jauh dengan Allah, sensitif itu akan makin lama makin hilang. Kemungkinan kita akan kembali pada kita yang mula-mula dulu. Hal-hal yang dulu dirasakan berat dan besar, kita akan rasa biasa. Mulalah hati nak menidakkan hukum Allah, dan mula rasa, "Ok saja! Aku bukan buat apa-apa pun." 

Mulanya, mungkin akan berbuat dosa sendirian. Lama-kelamaan, sensitiviti makin kurang, dan dosa akan dibuat secara terang-terangan tanpa rasa apa-apa!

Jalan kebaikan memang payah. Kerana Syurga itu sungguh mahal, kan? Malah, sikit sekali yang menempuhnya. 

Moga istiqamah. 
Meski berulang-ulang kali.
Berjuta-juta kali, kembali pada Allah.


KITA ADALAH INGENIEUR KEPADA HATI-HATI KITA. (:


"Aku amatur.
Didiklah, dan doakanlah."

Amin.



____
"keep struggling for Him, to be pleased with me." ~nouman ali khan, how to live a humble life part 1 & 2

"when you see, hear, or talk shameless deeds, but you can't feel anything, that is an indication that you've problem with your heart!" ~nouman ali khan, modesty and shame.

"if you are patiently wanting the pleasure from Allah, truthfully leaving things for the sake of Allah, He will replace it with something better.." ~shaykh ibrahim zidan, patience part 2.

*abaikan quote yang salah grammar, dan etc. sebab saya salin suka-suka hati ikut kefahaman sendiri. jujur-sejujurnya, english saya worst; ampun! its ok kan, as long faham sikit-sikit? sharing is loving! sekian, terima kasih. (: